Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) maklum mengenai beberapa insiden buli membabitkan petugas media di laman sosial, sejak kebelakangan ini.
NUJM ingin mengingatkan semua pihak bahawa perbuatan membuli sama ada secara fizikal mahupun dalam talian terhadap mana-mana petugas media tidak boleh ditoleransi atau dibenarkan sama sekali, malah, tindakan tidak bermoral itu perlu dihentikan dengan segera.
Tindakan membuli terutamanya buli siber bukan saja membahayakan nyawa malah turut menyukarkan petugas media untuk melakukan tugas mereka. Lebih membimbangkan, jumlah kes buli siber sejak kebelakangan ini juga semakin meningkat terutama di laman sosial.
Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan liputan atau berita yang dihasilkan oleh petugas media, seharusnya mengambil tindakan mengikut landasan yang betul seperti yang termaktub dalam undang-undang.
Dalam hal ini, NUJM ingin menekankan kepentingan mewujudkan Majlis Media Malaysia yang dilihat mampu menjadi pengantara rakyat dan petugas media. Menerusi Majlis Media, sebarang masalah atau ketidak puasan yang timbul terhadap mana-mana petugas media boleh dibawa ke perhatian Majlis Media dan diselesaikan secara teratur.
Sekali lagi NUJM ingin mengingatkan semua pihak, bahawa tindakan buli atau siber buli terhadap mana-mana petugas media sama ada ahli NUJM atau bukan, tidak boleh diterima sama sekali dan NUJM akan memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa.
#InSolidaritywithMohan
NUJM In Solidarity